Cara Penjagaan Pesakit Kencing Manis

Kencing manis merupakan satu penyakit yang memerlukan penjagaan rapi oleh diri sendiri mahupun penjaganya. Ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan dalam cara penjagaan pesakit kencing manis antaranya pemakanan, ubat-ubatan, gaya hidup dan tahap kesihatan. Disini saya senaraikan 9 cara penjagaan pesakit kencing manis buat panduan penjaga dan pesakit sendiri.

Cara Penjagaan Pesakit Kencing Manis

1. Makan Makanan yang Anda Suka.

Sebagai pesakit kencing manis, anda tidak perlu tinggalkan makanan kegemaran anda. Tetapi anda perlu tahu cara pemakanan untuk pesakit kencing manis yang dapat mempengaruhi kandungan gula dalam darah anda. Kebiasaannya, pakar diet boleh mengajar anda cara mengira karbohidrat, membaca label makanan, dan membahagikan saiz hidangan yang bersesuaian. Cara pemakanan begini dapat mengawal kencing manis anda dan dalam masa yang sama anda dapat menikmati makanan kegemaran anda.

2. Kawal Kandungan Makanan dalam Pinggan Anda.

Cara pemakanan untuk pesakit kencing manis sebenarnya tidak banyak beza dengan mereka yang tiada kencing manis. Mereka masih boleh aplikasikan 3-bahagian-makanan seperti yang biasa dilakukan. Bahagikan pinggan anda kepada 3 zon. Langkah pertama, bahagikan pinggan kepada 2 bahagian. Satu bahagian di isi dengan sayuran hijau seperti bayam, brokoli dan lain-lain. Kemudian, bahagian yang separuh lagi itu di bahagikan kepada dua pula. Satu bahagian diisi dengan makanan berkanji seperti beras perang, roti atau pasta. Dan separuh bahagian lagi diisi dengan daging atau sumber protein haiwan yang lain seperti ikan, dan lain-lain. Selain itu, anda juga boleh menikmati segelas susu rendah lemak serta setengah cawan buah-buahan.

3. Simpan Rekod.

Anda seharusnya merekodkan bacaan gula darah anda, cara pemakanan anda, senaman anda dan ubat-ubatan yang anda ambil setiap hari. Rekod ini dapat membantu anda dan doktor  untuk mengenal pasti adakah rawatan yang diberikan kepada anda berkesan atau tidak. Anda juga boleh menulis perasaan anda supaya anda boleh bertanya kepada doktor apabila waktu temujanji anda dengan doktor.

4. Perancangan Ketika ‘Hari Sakit’.

Sebagai seorang pesakit kencing manis, sakit biasa seperti demam, selsema dan cirit birit boleh meningkatkan bacaan gula darah anda. Ini menjadikan tubuh anda agak sukar untuk melawan sendiri penyakit ini. Oleh itu, cara penjagaan pesakit kencing manis sangat penting ketika ini. anda perlu persiapkan cara pemakanan yang dapat beri anda tenaga secara berpanjangan serta cecair yang cukup untuk tubuh anda. Anda juga perlu semak bacaan gula darah anda dengan lebih kerap . Jangan lupa untuk ambil vaksin selsema setiap tahun. Anda juga boleh mengamalkan suplemen yang bersesuaian tanpa meninggalkan ubat-ubatan doktor sehinggalah doktor membenarkan anda untuk tinggalkan ubat-ubatan tersebut.

5. Uruskan Ubat-ubatan Anda.

Jika anda mengambil pil atau suntikan sebagai rawatan kencing manis anda, pastikan anda ada simpan stok ubatan tersebut untuk bekalan selama 3 hari. Ia penting untuk anda sekiranya berlaku apa-apa keadaan kecemasan. Sekiranya anda ingin mengambil apa-apa suplemen mahupun ubat-ubatan yang dibeli sendiri di farmasi, pastikan anda bawa suplemen dan ubatan tersebut kepada doktor untuk pengesahan doktor bahawa suplemen dan ubatan tersebut selamat untuk anda makan.

6. Lawan Tekanan Setiap Hari.

Tekanan hidup boleh menaikan bacaan gula darah anda. Oleh itu, cara penjagaan pesakit kencing manis adalah anda perlu mengawal tekanan anda setiap hari untuk kekalkan gula darah yang normal. Selain itu, tekanan juga boleh mendorong anda untuk ambil makanan yang tidak sihat sekali gus dapat merosakan cara pemakanan pesakit kencing manis yang telah anda amalkan selama ini. Ada pelbagai cara untuk mengawal atau melepaskan tekanan anda andataranya bersenam, sertai kumpulan sukan atau sertai kelas tarian juga. Aktiviti sihat begini dapat membuatkan anda rasa lebih sihat dan segar kerana ianya dapat meningkatkan bahan kimia di otak. Maka, otak anda juga dapat berfungsi dengan lebih baik. Yang paling penting adalah, teruskan hidup!

7. Senaman dalam Sesi Yang Pendek.

Berjalan kaki selama 10 minit setiap hari sudah memadai sebagai salah satu cara penjagaan pesakit kencing manis. Ini kerana senaman dapat bantu kawal gula darah anda, turunkan tekanan darah dan kolestrol serta mengurangkan stress anda. Tak perlu senaman berat atau aktiviti-aktiviti lasak. Senaman ringan tetapi anda lakukan secara konsisten pun sudah memadai.

8. Periksa Keadaan Kaki Anda Setiap Hari.

Gunakan cermin tangan atau minta seseorang untuk membantu anda mencari luka, bengkak, atau perubahan warna di kaki anda sekiranya ada. Ini sangat penting dalam penjagaan pesakit kencing manis.Jangan lupa untuk melihat antara jari kaki anda juga. Jika anda melihat apa-apa yang luar biasa, segeralah berjumpa doktor anda. Tunjukkan padanya keadaan yang mencurigakan anda itu. Penjagaan kaki perlu dibuat secara rutin setiap hari. Basuh dengan bersih serta pastikan kuku jari kaki anda sentiasa pendek, kemas dan bersih.

9. Tinggalkan Tabiat Merokok.

Sekiranya anda merokok, segeralah berhenti merokok.  Anda mungkin memerlukan bantuan mental dan fizikal untuk melawan ketagihan nikotin. Program berhenti merokok, kumpulan sokongan, dan pusat kesihatan boleh menawarkan bantuan profesional. Kita semua tahu bahawa merokok ini tidak baik untuk kesihatan. Oleh itu, berusahalah untuk tinggalkan tabiat merokok anda. Anda mungkin juga boleh cuba di sini >> TIPS BERHENTI MEROKOK

Semoga cara penjagaan pesakit diabetes ini dapat memudahkan lagi urusan pesakit dan penjaga yang menjaganya. Jom sama-sama kita kembali sihat dengan amalkan gaya hidup yang sihat serta pengambilan nutrisi yang seimbang setiap hari.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *